Tuesday, October 21, 2008

KETOKOHAN TUK KENALI DAN SUMBANGANNYA 2


MENYAMBUNG PELAJARAN KE KOTA

Sewaktu berusia aantara sembilan ke sepuluh tahun, Muhammad Yusof telah mengambil langkah bagi menyambung pelajarannya ke Kota Bharu. Tempat pertama yang ditujunya ialah ke masjid Al-Muhammadi, di mana terdapat beberapa orang guru agama dan beratus-beratus orang murid dari seluruh ceruk Negeri Kelantan menyembung pelajaran mereka ke sini. Sekitar masjid besar ini, dewasa ini penuh dengan pondok-pondok (asrama) penuntut.

Dalam masa menuntut di sini beliau berguru kepada encik Ismail (ayahnda Datuk Perdana menteri Paduka Raja, kelantan) Beliau belajar bersama-sama encik idris yang kemudiannya menjadi “Mufti Kerajaan kelantan”’ Selain iatu beliau berguru kepada Tuan Guru Hj. Ibrahim, penambang (Mufti kerajaan kelantan) syaikh Muhammad ali bin Ab. Rahman (Wan Ali) kutan dan kepada tuan guru padang (Hj. Ahmad) Kota Bharu.

MELANJUTKAN PELAJARAN KE TANAH SUCI
Sebagai seorang pelajar, Tuk kenali telah menaruh cita-cita yang kuat untuk melanjutkan pelajaran ke Makkah. Pada tahun 1887M (1305H). Menjelang umurnya kira-kira 18 tahun, Tuk Kenali menjejak Tanah Suci Makkah untuk meninggikan pelajaran agamanya di samping menunaikan rukun yang kelima, Ibadat Haji iaitu sesudah enam bulan mengalami kesusahan di Lautan Hindi disebabkan kerosakan kapal yang ditumpanginya.

PENGHIDUPAN TUK KENALI DI TANAH SUCI

Pemergiannya ke Tanah Suci adalah semata-mata atas bantuan daripada sahabat kenalan beliau di Kota Bharu yang berjumlah kira-kira RM50.00 dan sumbangan daripada ibunya cuma berjumlah RM22.00. Kesukaran yang di hadapi Tuk Kenali di rantau orang tidak dapat digambarkan lagi. Hampir tujuh bulan beliau di sana tanpa tempat kediaman yang tetap. Semasa itu beliau menginap di serambi Masjid Al-Haram, Makkah yang hanya dapat tidur dan berehat-rehat bila menjelang sesuku malam disebabkan Masjid Al-Haram merupakan pusat ibadat tawaf, sa’i, sembayang dan sebagainya.

Pakaiannya sederhana, begitu juga tentang pemilihan makanannya untuk menampung kekosongan di waktu pagi dan petang. Memandangkan kedudukan ini, beliau pernah ditugaskan menjadi tukang masak sementara dalam sesuatu perkelahan atau antara kawan-kawannya di wadi-wadi (lembahan) dan di pinggir-pinggir bukit-bukit nan tandus.

PERKEMBANGAN PELAJARAN
Sebelum beliau keluar negeri dahulu, beliau telahpun mempunyai pengetahuan-pengetahuan asas dalam pelajaran-pelajaran yang telah dipelajari ketika itu . Beliau telah pun menguasai pengetahuan bahasa arab (Nahu dan Sarafnya) bagi mengikuti setiap segi jurusan pengetahuan agama di masa itu. Perkara-perkara ini adalah melayakkan Tuk Kenali untuk menerima dan mengikuti pelajaran-pelajarannya yang sedang berkembang dewasa ini di Tanah Suci Makkah.

Tuk Kenali terpaksa belajar mendengar sahaja tanpa kitab. Di samping itu juga beliau terpaksa membaca di kedai-kedai kitab dengan meminta izin tuan-tuan kedai itu untuk membaca dan menatap kitab-kitab jualannya dalam tempoh yang agak lama dengan cara yang cermat sekali. Kitab-kitab Wakaf yang ada dalam simpanan di Masjid Al-Haram juga dipergunakan untuk memahami kuliah-kuliah gurunya . Selain itu, Tuk Kenali terpaksa pula meminjam kitab-kitab gurunya sendiri. Kerana kemiskinanlah agaknya , membawa Tuk Kenali mengharungi lautan ilmu dan kemajuan melebihi kawan-kawannya yang lain.

Jelaslah bahawa Tuk Kenali banyak sekali membaca dan menatap kkitab-kitab buah tangan ulamak dan para failasuf islam yang telah dan sedang tersebar di dunia islam dewasa itu. Beliau juga mempunyai sifat suka bertanya dan mengkaji pelajarannya sebelum pelajaran itu di ajar oleh gurunya dengan mengadakan perbandingan-perbandingan sendiri dan pergalaman sendiri. Banyak membaca dan banyak membuat kajian adalah merupakan faktor-faktor besar dalam perkembangan ilmu seseorang pelajar atau siswa.

Antara guru-guru di Masjid yang namanya banyak disebut-sebut oleh Tuk Kenali ialah Tuan Guru Wan Ahmad atau nama penuhnya “ Ahmad bin Muhamad Zain bin Mustafa Al-Fatani” yang terkenal sebagai seorang pengarang sesudah nama Syaikh Daud Patani. Kepada Guru inilah Tuk Kenali mendapat bimbingan dan bantuan baik dari segi ilmu pengetahuan mahupun penghidupan. Disamping itu, terdapat beberapa orang guru dari patani dan indonesia yang mungkin mendapat perhatian Tuk kenali disamping guru-gurunya yang terdiri daripada orang-orang Arab.

bersambung

No comments: